Ahad, 6 November 2011

Hari Raya Korban dan gesaan MCCBCHST

Selamat Hari Raya Aidiladha buat seluruh umat Islam walau di mana anda berada......

Hari raya biasanya kedai mamak tutup. Jadi tak dapatlah nak mengeteh...

Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha ataupun juga dikenali dengan Hari Raya Korban. Ada 2 perkara mengenai Hari Raya Aidiladha iaitu umat Islam melaksanakan rukun Islam yang ke 5 dan ada juga yang melaksanakan ibadah KORBAN.

Bagaimanapun hati aku sedikit terusik apabila membaca laporan Majlis Perundingan Agama Budha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa agar jangan melakukan sembelihan di kawasan sekolah dan institut pengajian tinggi di seluruh negara. Bagi aku gesaan yang dilakukan ini bersifat kurang bijak dan terburu-buru.

Sebagai seorang penganut agama Islam, aku amat menghormati agama-agama lain. Aku juga amat memahami sensitiviti masyarakat Hindu mengenai binatang lembu yang dianggap suci oleh mereka. Bagaimanapun saranan mereka itu amat tidak kena pada masanya dan boleh menyebabkan ketegangan kaum. Kenapa mesti saranan itu dikeluarkan di ketika masyarakat Islam sedang merayakan Hari Raya Aidiladha. Dimanakah kepekaan mereka pula pada sensitiviti masyarakat Islam? Sepatutnya saranan itu dibuat lebih awal ataupun selepas musim perayaan ini.

Selain itu apakah logik sekiranya saranan itu dikenakan untuk semua sekolah dan institusi pengajian tinggi? Bagaimana pula dgn sekolah-sekolah yang sememangnya berada di kawasan yang 100% masyarakat Islam? Bagaimana pula jika dibuat di insitusi pengajian tinggi yang majoritinya Islam seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM)? Sepatutnya biarlah saranan itu dikenakan hanya pada kawasan yg bermajoriti bukan Islam.

Seharusnya sebagai manusia kita haruslah berpijak di bumi yang nyata. Agama Islam adalah agama rasmi di Malaysia namun dalam masa yang sama penganut agama lain bebas melakukan upacara keagamaan masing-masing. Masyarakat Islam sebagai majoriti tidak pernah menghalang penganut agama lain melakukan upacara keagamaan walaupun kadangkala menjentik sensitiviti Islam, mengganggu lalulintas dan sebagainya. Janganlah kerana perkara remeh temeh seperti ini akan menyebabkan ketegangan kaum yang kesannya akan disesali seumur hidup.

Bersyukurlah kita di Malaysia yang ada nilai toleransi dalam beragama. Teringat pula kisah kerajaan di Perancis yang melarang pemakaian tudung dan hijab di pusat pengajian.

"Di mana langit dipijak, di situ langit dijunjung"


Tiada ulasan:

Catat Ulasan